Biasa dengar ayat begini? Adakah kita benar-benar mengenali diri sendiri ataupun kita sebenarnya tak tahu pun siapa diri kita? Adakah kita tahu mengapa kita lakukan perkara yang kita pilih untuk lakukan? Apa yang mempengaruhi minda, sifat dan tindak-tanduk kita?
Pakar psikologi telah lama cuba mencari jawapan bagaimana kita melihat dunia dan apakah faktor yang mempengaruhi tingkah laku kita. Kami kongsikan 3 penemuan psikologi yang mungkin mengubah cara anda memahami diri sendiri.
#1 Setiap manusia ada potensi untuk jadi jahat
Ini merupakan eksperimen yang paling terkenal dalam sejarah penyelidikan psikologi sehingga ia dijadikan filem box office. Satu kajian pada tahun 1971 dijalankan oleh penyelidik dari Stanford University dengan menyediakan penjara olok-olok di tingkat bawah tanah bangunan fakulti psikologi.
Seramai 24 orang pelajar yang mempunyai rekod bersih dan tidak mempunyai sebarang masalah mental dipilih untuk berlakon sebagai banduan dan pengawal. Penyelidik kemudian membuat pemerhatian terhadap banduan yang perlu tinggal dalam sel penjara selama 24 jam setiap hari dan juga pengawal yang bekerja syif selama 8 jam melalui litar kamera CCTV terlindung.
stanford prison experiment
Eksperimen yang sepatutnya berlangsung selama 2 minggu itu bagaimanapun terpaksa dipendekkan kepada 6 hari sahaja kerana sikap pengawal yang suka mendera tahanan. Pengawal didapati bersikap ganas terhadap banduan dengan membogelkan banduan, meletakkan beg penutup di atas kepala dan mengajak mereka membuat hubungan seksual.
Ada juga pengawal yang mengakibatkan penderaan psikologi kepada banduan sehingga mereka mengalami stres dan keresahan. Eksperimen itu dihentikan dengan segera kerana ia menjadi di luar kawalan.
Membuatkan kita terfikir, adakah kita juga akan membuat dan melalui perkara yang sama dalam situasi sebegitu?
#2 Kita tak sedar pun apa yang berada di hadapan mata
Anda rasa anda benar-benar tahu dan peka dengan apa yang terjadi di sekeliling anda? Mungkin tidak.
Pada tahun 1998, penyelidik dari Harvard dan Kent University mensasarkan pejalan kaki di kampus untuk mengetahui bilangan orang yang peka dengan keadaan sekeliling. Dalam eksperimen itu, seorang pelakon upahan dikehendaki bertanyakan arah jalan kepada orang yang lalu-lalang secara rambang.
buta perubahan eksperimen manusia tak sedar
Semasa memberikan arah jalan kepada insan yang 'kesesatan' itu, dua lelaki yang membawa pintu kayu besar akan berjalan di antara pelakon dan pejalan kaki tersebut sehingga menghalang pandangan sesama sendiri buat beberapa saat. Pada ketika inilah pelakon upahan ini digantikan dengan pelakon yang lain. Pelakon baru ini mempunyai ketinggian dan bentuk badan yang berlainan. Selain itu, dia juga mengenakan pakaian berbeza, mempunyai potongan rambut dan juga suara yang berlainan.
Apa yang memeranjatkan, separuh daripada bilangan peserta eksperimen ini tidak sedar pun mereka bercakap dengan orang yang berbeza!
Ujian ini menjelaskan fenomena "buta perubahan" yang membuktikan bagaimana otak kita selektif untuk mengingati maklumat yang kita dapat secara visual.
#3 Perasaan susah mengawal diri
Pada akhir tahun 60-an, satu kajian terkenal dari Stanford University telah menjalankan eksperimen 'menahan diri' ke atas kanak-kanak. Dalam eksperimen terbabit, kanak-kanak berusia 4 tahun diletakkan dalam sebuah bilik seorang diri. Di hadapan mereka ada satu pinggan kecil yang berisi seketul marshmallow.
Penyelidik telahpun berpesan kepada setiap kanak-kanak ini bahawa mereka boleh memilih untuk memakan marshmallow tersebut sekarang, ataupun boleh menggandakan bilangan marshmallow sekiranya mereka berjaya menunggu selama 15 minit sehingga penyelidik datang kembali ke bilik tersebut.
ujian marshmallow kanak kanak
Walaupun majoriti kanak-kanak itu menjawab yang mereka akan menunggu kerana ingin makan dua ketul marshmallow, semasa tempoh menunggu, mereka bergelut dengan perasaan dan akhirnya tidak dapat bertahan lama. Kanak-kanak ini beralih arah dan terus memakan seketul marshmallow itu.
Kanak-kanak lain yang berjaya menahan diri kesemuanya menggunakan taktik mengelak seperti berpusing ke belakang atau menutup mata.
Implikasi tingkah laku kanak-kanak ini sebenarnya sangat penting. Hal ini demikian kerana kanak-kanak yang mampu menahan nafsu dan melengah-lengahkan kepuasan ini tidak menjadi obes, tidak mempunyai masalah ketagihan dadah ataupun masalah perilaku apabila meningkat remaja dan lebih berjaya apabila dewasa.
No comments:
Post a Comment