Monday, March 27, 2017

312,068 Peminjam PTPTN Disenarai Hitam Telah Berunding

SEPANG: Seramai 586,863 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) disenarai hitam Jabatan Imigresen sehingga 31 Januari lalu, membabitkan amaun berjumlah RM11.6 bilion. 



Ketua Eksekutif PTPTN, Wan Ahmad Wan Yusoff, berkata daripada jumlah itu, seramai 312,068 peminjam sudah melakukan perundingan dengan pihaknya dan mula membuat bayaran balik berjumlah RM967.9 juta. 
"Peminjam yang sudah dikenakan tindakan senarai hitam dikehendaki membayar keseluruhan hutang pinjaman atau tunggakan. 

"Sekiranya tidak mampu, peminjam boleh berbincang dengan PTPTN bagi membuat penstrukturan bayaran apa-apa jumlah yang dipersetujui antara kedua-dua pihak. "Selepas rundingan dan bayaran dibuat, peminjam akan diberi pelepasan senarai hitam. 
Kita mahu peminjam lebih bertanggungjawab untuk membuat pembayaran balik bagi memudah pinjaman diberikan kepada pelajar baharu," katanya. 



Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pejabat PTPTN cawangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di sini, hari ini. Perasmian terbabit disempurnakan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mary Yap Kain Ching. 
Pejabat PTPTN cawangan klia2 mula beroperasi sejak 1 Mac lalu yang bertujuan bagi memberi kemudahan kepada peminjam PTPTN yang akan ke luar negara dan menghadapi masalah dalam membuat bayaran balik pinjaman.

No comments:

Post a Comment